LELAKI PUN PERLU JAGA KULIT MUKA
Dapatkan pencuci muka yang sesuai untuk bersihkan kulit
BAGI kebanyakan lelaki, rutin menjaga kulit boleh dianggap satu mimpi seram.
Sebabnya mereka langsung tidak gemar menjaga kulit seperti kaum Hawa.
Selain daripada mencukur janggut atau misai, kaum Adam jarang menjaga kulit muka mereka.
Sebenarnya menjaga kulit amat penting kerana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan anda dalam usaha melawan berbagai-bagai jenis penyakit kulit.
Bagi mereka yang bekerja dalam suasana yang penuh berhabuk seperti di tapak binaan dan mereka yang menunggang motosikal, penjagaan kulit sepatutnya menjadi sebahagian daripada rutin anda pada setiap masa.
Tambahan pula, sedang usia anda meningkat, kulit menjadi kurang tegang.
Ini boleh menyebabkan masalah kedutan dan garis-garis kecil di kulit anda dan ini menyebabkan anda kelihatan lebih tua daripada usia anda yang sebenar.
Bagi mengelakkan ini, anda boleh menjaga kulit menerusi tip-tip di bawah ini:
Pertama, anda perlu sedar bahawa penjagaan kulit tidak memerlukan masa yang banyak.
Yang diperlukan hanyalah beberapa minit saja untuk diterapkan dalam rutin harian anda.
Apa yang anda perlu lakukan ialah pencuci muka yang sesuai untuk kulit dan air sejuk untuk membersihkan muka.
Elakkan daripada menggunakan sabun yang terlalu kasar untuk muka kerana ini akan merosakkan tekstur kulit yang halus.
Amalkan proses menggelupas (exfoliate) kulit dengan kerap.
Menggelupas sel-sel kulit yang 'mati' dapat menggalak ton kulit yang baik.
Sebaik-baiknya, amalan ini diulang sekitar dua hingga tiga kali seminggu.
Sekiranya anda mempunyai kulit yang kering, gunakan pelembab untuk mengurangkan kedutan pada kulit muka.
Terutamanya selepas mencukur, anda perlu menggunakan pelembap untuk kulit anda dengan bahan pelembap antipenuaan yang tidak mengandungi sebarang alkohol atau bahan wangian yang terlalu banyak.
Produk-produk terlalu wangi boleh menjejas kulit termasuk mengeringkan lagi kulit.
Cara mencukur juga penting bagi memastikan kulit anda kelihatan sihat.
Sekiranya anda menggunakan pisau cukur, pastikan anda basahi kulit muka dengan air panas sebelum menyapu krim mencukur.
Pastikan anda berjaga-jaga semasa bercukur bagi mengelakkan kulit muka tercedera.
Elakkan kulit daripada terdedah kepada matahari terlalu lama.
Memang benar kulit perlukan sedikit pendedahan pada matahari untuk mendapatkan vitamin D yang cukup.
Tetapi sekiranya kulit terlalu banyak terdedah kepada matahari, ia boleh menjejas tekstur kulit anda.
Gunakan sebarang bahan pelindung matahari yang berkesan - yang mengandungi bahan SPF 15 atau lebih tinggi untuk melindungi kulit daripada rosak setiap kali anda keluar.
Diet yang seimbang serta senaman jasmani amat penting bagi menjaga kulit.
Pastikan anda makan makanan yang kaya dengan kandungan sumber vitamin C, A dan E bagi memastikan ton kulit yang sihat.
Tubuh biasanya mengandungi sistem pelembap.
Tetapi sistem tersebut hanya akan 'beroperasi' sekiranya ia mendapat cecair yang cukup untuk 'dipam' ke bahagian muka.
Justeru, minum air yang mencukupi untuk memastikan tubuh tidak kering dan sentiasa sihat.
Sekiranya anda seseorang yang tidak gemarkan air putih, ia boleh digantikan dengan jus buah-buahan.
Cuba amalkan minum segelas air sebelum makan tengah hari atau makan malam.
Amalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Sekiranya anda aktif, perjalanan darah anda akan bertambah dan ini dapat membuat kulit muka anda kelihatan lebih cerah dan berseri.
Elakkan daripada merokok.
Bahan nikotin yang terkandung dalam rokok akan meresap ke dalam darah.
Dan asap yang keluar dari mulut pula mengandungi terlalu banyak bahan beracun yang tidak sihat untuk kulit muka.
Akhir sekali, pastikan anda beri sedikit perhatian kepada penjagaan kulit muka dan jangan menganggap bahawa amalan itu hanya sesuai untuk kaum Hawa.
Sekiranya anda benar-benar ingin kelihatan kacak dan kool jaga kulit dan dapatkan hasil yang diingini.
AddyFahmi
Thursday, April 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
THANK YOU FOR YOUR COMMENT